28 March 2013

Seroja on Seroja

Kalau tuan mudik ke hulu,
Petikkan saya bunga seroja;
Kalau tuan mati dahulu,
Tunggu saya di pintu syurga.

Waduh-waduh...Setelah 32 tahun, baru saya tahu bunga seroja ialah water lily. Malahan nama lainnya ialah bunga telepok atau bunga padma (rujuk Kamus Dewan). (Perhatian: bunga padma dan bunga pakma (rafflesia)  pula adalah dua spesies bunga yang berbeza. Jangan keliru seperti yang berlaku pada saya sebentar tadi). Masih kurang lagi ilmu tumbuh-tumbuhan saya ini. Selama ini, asal tengok tumbuhan yang berdaun bulat dan berbunga kembang di permukaan air namanya teratai, tidak peduli pun bentuk dan warnanya. Bila dah tahu ni barulah diselidik-selidik dalam internet.



Rupanya teratai dan seroja dua spesies tumbuhan berbeza. Teratai (lotus) hanya terdiri dari dua spesies sahaja manakala seroja (waterlily) hampir 70 spesies. Bila sudah tahu, barulah perasan bahawa teratai yang pernah ditemui setakat ini hanya satu jenis sahaja, iaitu teratai warna merah jambu yang banyak tumbuh di dalam lombong-lombong tinggal di sekitar daerah Kinta (Batu Gajah, Tanjung Tualang, Tronoh, Kampar).  Salah satu ciri yang membezakan di antara dua bunga yang sama tak serupa ini ialah bunga teratai timbul/menjulang keluar dari dalam air manakala seroja pula bunganya terapung di permukaan air. Oleh itu, ada bunga teratai yang berkembang  lebih tinggi dari permukaan air dan kadang kala daunnya juga tumbuh di atas permukaan air kolam/lombong. Jika diperhatikan, bentuk bunga teratai yang mekar adalah umpama sebuah mahkota manakala kelopak seroja yang kembang  pula kelihatan seperti sebuah bintang.


Seroja adalah sejenis bunga yang terdiri dari pelbagai warna. Antara warna bunga seroja yang pernah saya temui ialah  berwarna putih, biru, merah jambu, kuning. Jika teratai dianggap bunga suci bagi penganut Buddha, seroja biru pula dianggap sebagai bunga suci pada zaman Mesir purba. Ini menyebabkan bunga seroja biru banyak ditanam di sekitar kuil-kuil Mesir purba. Malahan ditemui juga ukiran hiroglif dengan motif bunga seroja biru pada tiang-tiang kuil mereka. Kudup bunga seroja akan berputik di dalam air dan pabila kembang ia akan timbul dan terapung di permukaan air.


Satu penemuan yang menarik berkaitan teratai dan seroja ini, ia hanya tumbuh di tempat yang tanahnya subur dan airnya bersih dari sebarang pencemaran. Jika diterjemahkan dalam bahasa sains bermaksud kadar keterlarutan oksigen dalam air adalah tinggi. Maka tumbuhan air ini boleh dijadikan penentu/pengukur tahap pencemaran di sesebuah tasik/kolam.

Salah satu spesies seroja yang terkenal di dunia ialah Victoria Amazonica, seroja gergasi yang hidup subur di hutan hujan Amazon. Daunnya yang lebar boleh membesar sehingga 3 meter lebar dengan batangnya yang tenggelam di dalam air boleh tumbuh sepanjang 7-8 meter.


Allah memberikan kesempatan untuk kita menyaksikan habitat dan proses perkembangan tumbuhan menakjubkan ini menerusi dokumentari yang dirakam oleh David Attenborough seperti yang dipaparkan dalam video di bawah.


Keindahan bunga seroja sering diterjemahkan dalam bentuk kesenian samada puisi, seni lukisan, seni ukiran, lagu, seni arca dan sebagainya. Malah motif seroja turut ditemui diterapkan dalam pelbagai hiasan seharian seperti ukiran awan larat di sekitar rumah dan perabot kayu, ukiran kristal dan hiasan pinggan mangkuk.

Lagu Seroja yang didendangkan oleh S. Effendi pada tahun 70an antara apresiasi estetik bunga seroja yang popular. Lagu ini banyak didendangkan semula, antaranya oleh kumpulan nasyid Al-Jawaher, Jamal Abdillah, Mawi dan juga dibawakan oleh watak Mahar dalam filem hebat, Laskar Pelangi.

~Seroja~

Mari menyusun seroja
Bunga seroja ah... ah...
Hiasan sanggul remaja
Puteri remaja ah... ah...

Rupa yang elok
Di manja jangan dimanja ah... ah...
Puja lah ia oh saja
Sekadar saja

Mengapa kau bermenung
Oh adik berhati binggung
Mengapa kau bermenung
Oh adik berhati binggung
Janganlah engkau percaya dengan asmara
Janganlah engkau percaya dengan asmara

Sekarang bukan bermenung zaman bermenung
Sekarang bukan bermenung zaman bermenung
Mari bersama oh adik memetik bunga
Mari bersama oh adik memetik bunga

Mari menyusun seroja
Bunga seroja ah... ah...
Hiasan sanggul remaja
Puteri remaja ah... ah...

Sebelum mengakhiri entry ini, saya ingin berkongsi sebuah artikel yang membuka satu sudut lain pandangan saya tentang teratai. Namun atas kekurangan ilmu tentang perkara ini, tidak wajar rasanya untuk saya ulas. Sila klik di sini untuk membacanya.